Friday, 25 December 2015
Tanah Pembinaan Rumah
Alhamdulilah setelah beberapa tahun mencari, akhirnya saya telah menemui satu kawasan tanah lot bungalow yang agak sesuai dan masih bebas banjir setakat ini. Walaubagaimanapun, tanah yang lebih elok mestilah berkompromi dengan harga pasarannya. Saya masih dalam proses membeli tanah tersebut daripada penjual dan setelah belian tersebut selesai saya harap projek pembinaan rumah dapt dilakukan sebelum pertengahan tahun hadapan.
Pencarian Tanah Lot
Pencarian tanah lot bungalow bermula beberapa tahun lepas dan tidak mengambil masa yang singkat untuk menemui tanah yang sesuai. Tidak banyak tanah lot bungalow yang boleh didapati di Kuantan berbanding di Kelantan dan Terengganu. Sistem tanah yang agak susah di Pahang mungkin merupakan faktornya. Kos untuk pecah lot tanah di Kuantan terutamanya memakan kos yang amat tinggi. Premium yang harus dibayar kepada pejabat tanah untuk memecahkan satu ekar tanah pertanian kepada pecahan lot bangunan saja sudah mencecah puluhan ribu ringgit tidak termasuk kos-kos yang lain. Malahan pengeluaran geran bangunan pun memerlukan masa yag agak lama hinggakan boleh mencecah 8 ke 10 tahun.Hal ini membebankan kebanyakan orang-orang kampung untuk menukar status tanah mereka. Kebanyakan tanah yang di dijual di sini dalam bentuk tanah pertanian. Walaupun tanah pertanian pun masih boleh dibina sebuah rumah menggunakan pinjaman kerajaan, tapi kebanyakannya masih tidak sesuai untuk pembinaan rumah.Kebanyakan pegawai kerajaan telah mengambil jalan yang singkat dengan membeli sahaja rumah-rumah di taman perumahan disebabkan oleh kesukaran berikut. Hal ini berbeza di Kelantan dan Terengganu yang mana kebanyakkan nereka lebih gemar membina rumah mereka sendiri disebbkan oleh faktor urusan tanah yang mudah dan senang didapati.
Saya telah menemui beberapa tanah sesuai tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan tanah tersebut pernah hadapi banjir. Banjir besar melanda Kuantan dan Kemaman tahun 2013 menyebabkan pemilihan tanah dibuat lebih berhati-hati.Ada beberapa faktor pemilihan tanah kami pertimbangkan seperti yang berikut:-
1. Geran tanah mestilah bersih. Maksudnya geran tanah individu yang melayakkan pinjaman kerajaan dibuat.Ada juga geran individu tetapi pemilik tanah adalah pemegang amanah sahaja akan merumitkan urusan pinjaman kelak.
2. Kawasan bebas banjir. Hal ini amat penting kerana amat terkilan jika kita berhabis ratusan ribu ringgit tetapi rumah kita duduki berada di kawasan banjir.
3.Struktur tanah yang baik .Tanah mestilah di kawasan yang mempunyai struktur tanah yang kukuh. Tapi tanah berpaya pun orang tetap boleh buat rumah yang penting buatlah ujian tanah agar semuanya baik.
4. Kemudahan infrastruktur yang lengkap berhampiran. Tapak lot lebih bersesuaian jika tidak terlalu jauh berada dari rumah-rumah kejiranan yang lain dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang lain.
5. Faktor kejiranan yang sesuai dan baik. Jiran memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan yang baik. Dapat jiran yang bermasalah mungkin akan menjejaskan hubungan kejiranan.
6. Melihat faktor naik dan turun matahari di tapak lot. Sebaik-baik tapak adalah matahari naik sebelah pagi di depan ruang tamu dan turun di waktu senja di belakang rumah.
Thursday, 24 December 2015
Isu Lembaga Pembiayaan Perkhidmatan Sektor Awam (LPPSA)
Sejak akhir-akhir ini, saya begitu meneliti perkembangan isu LPPSA yang akan dikuatkuasakan pada 1.1.2016. Isu ini juga akan melibatkan saya memandangkan saya juga turut akan membuat pinjaman pembinaan rumah pada tahun hadapan. Pelbagai persepsi dilemparkan kepada LPPSA samada yg berasas dan dan tidak berasas. Sesetengah dari penjawat awam merasakan bahawa mereka tidak lagi mendapat keistimewaan pinjaman perumahan seperti di bawah BPP. Ringkasnya, maklumat LPPSA adalah seperti berikut:-
1.BPP akan diperbadankan menjadi LPPSA dan akan menjadi sebuah badan berkanun seperti LHDN dan sebagainya.
2. Walaubagaimanapun, Menteri Kewangan masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap polisi LPPSA.
3. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk mengurangkn kadar keberhutangan kerajaan . Selepas ini, LPPSA bertanggungjawab untuk mendapatkan dana untuk memberi pinjaman kepada penjawat awam (lembaga pinjam daripada bank-bank) dan seterusnya bertangungjawab terhadap untung rugi lembaga itu sendiri.
4. Kadar faedah masih dikekalkan setakat ini adalah 4% dan penjawat awam masih menikmati kesitimewaan yang sebelum ini dinikmati di bawah BPP.
5. Segala urusan guaman hanya melalui Panel Peguam Lembaga sahaja kecuali S&P yang ditandatangi sebelum 31.12.2015 masih dibenarkan menggunakan peguam sendiri dengan kebenaran Lembaga.
Akibat daripada perubahan tersebut timbul beberapa isu di kalangan penjawat awam mengenai dengan penubuhan lembaga:
1. Penukaran BPP kepada LPPSA yang merupakan sebuah badan berkanun demi mengurangkan hutang kerajaan menimbulkan andaian di kalangan sesetengah pihak bahwa pihak kerajaan mulai melepaskan tanggungjawab sosial terhadap kakitangan awam. Lembaga bertanggungjawab terhadap pengurusan dan untung rugi mereka sendiri.Mereka bimbang keistimewaan mereka sebelum ini terjejas.
2.Urusan guaman yang hanya menggunakan panel peguam lembaga merupakan satu diskriminasi terhadap penjawat awam. Hal ini juga dibantah oleh Cuepac dan Bar Council. Urusan guaman sepatutnya lebih mudah dan cepat dengan peguam yang lebih dikenali penjawat awam dan mungkin mereka juga akan mendapat diskaun yang lebih tinggi daripada peguam yang dikenali.
3. Tiada apa2 jaminan yang kadar interest 4% akan dikekalkan sampai bila-bila. Bertindak sebagai sebuah badan berkanun dah tentu matlamatnya adalah keuntungan di dalam perniagaan yang akan menjaga duit Lembaga secara berterusan.
4. Penjawat awam masih kabur adakah kelulusan pinjaman dan amaun pinjaman yang akan diluluskan masih dipermudahkan seperti sebelum ini. Secara umumnya, sekarang amaun kelulusan pinjaman penjawat awam bergantung kepada potongan gaji tidak melebhi 60% di dalam slip gaji terkini tidak termasuk komitmen di luar slip gaji. Ini dianggap satu keistimewaan yg amat baik berbanding dengan pinjaman bank biasa.Dengan penubuhan Lembaga dikhuatiri jumlah kelulusan pinjaman dan amaunnya akan terjejas memandangkan Lembaga lebih dilihat sebagai sebuah entiti perniagaan berbanding dengan tanggungjawab sosial terhadap penjawat awam.
Walau apa2 pun masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap apa2 pengumuman yang selanjutnya.Cuepas telah mengambil langkah yang wajar untuk mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan terhadap beberapa ketidakwajaran yang dilihat di LPPSA.
Semoga perjalanan kita seterusnya akan lebih dipermudahkan..amiiin...
Wednesday, 23 December 2015
Harga Rumah Yg Semakin Malambung
Keinginan untuk memiliki rumah idaman sendiri terjadi apabila melihat kepada trend harga rumah di Kuantan sendiri yang mula meningkat naik secara mendadak sejak kebelakangan ini. Harga rumah teres secara umumnya di kuantan sejak setahun dua ini telah meningkat sekitar harga 200k hingga 280k yang dalam 5 ke 8 tahun lepas masih mudah didapati sekitar harga 100k hingga 180k.Manakala harga untuk perumahan semi D telah meningkat sekitar 300k hingga 400k yang dalam 5 ke 8 tahun lepas masih banyak didapati dalam 120k hingga 200k. Manakala rumah banglo sudah cecah jutaan ringgit bagi sesetengah kawasan prima. Tapi setakat ini rumah banglo di kawasan yang bukan elit yang berkeluasan dalam binaan 1800kp sahaja sudah boleh mencecah hingga 650k ke 750k.
Trend harga rumah di kuantan tidak menunjukkan trend penurunan yang ketara walaupun heboh dengan isu lynas satu masa dahulu. Dan kini heboh pula dengan berleluasanya isu perlombongan bauksit yang tidak terkawal di sesetangah kawasan.
Akibat daripada keadaan tersebut maka timbul inisiatif daripada saya untuk mula membina rumah kediaman sendiri yang lebih selesa dan luas tapi dengan harga yang lebih berpatutan. Walaubagaimanapun cabaran pertama yang harus ditempuhi adalah untuk mancari tanah lot untuk membina rumah itu sendiri.Rupa-rupanya sistem tanah di Pahang tidaklah sama dengan system tanah negeri Pantai timur yang lain seperti Kelantan yang merupakan negeri asal saya dan Terengganu.Sesungguhnya pembuat rumah di Kelantan dan Terengganu amat beruntung berbanding di Pahang. Sistem tanah di sana untuk pecah lot lebih mudah dan murah berbanding di Pahang. Patutla pembinaan rumah banglo oleh individu di dua buah negeri tersebut tumbuh bagai cendawan berbanding di Pahang terutamanya di Kuantan sendiri yang lebih perlahan.
Impian Bungalow Idaman
Assalamualaikum..Tujuan utama blog ini dibuka adalah untuk merekod dan menyusuri projek pembinaan sebuah rumah banglo yang akan di bina oleh penulis sendiri. Setiap tahap pembinaan rumah akan disimpan di dalam blog ini sebagai satu bentuk perekodan dan boleh dikongsi kepada pembaca yang lain. Ia juga bertujuan sebagai satu bentuk perkongsian ilmu kepada rakan-rakan yang lain yang mana saya sendiri juga bukanlah seorang yang mahir dalama aspek pembinaan rumah. Segala rujukan hanya banyak dilakukan di dalam internet dan sumber-sumber bacaan sahaja. Sekiranya ada perkongsian yg lebih berguna daripada pembaca-pembaca yang lain amatlah dialu-alukan.
Saya ingin membina sebuah rumah banglo setingkat di sebuah tanah lot bangunan yang terletak lebih kurang 5 minit daripada pusat Bandar kuantan. Saya akan menggunakan kemudahan pinjaman kerajaan dan menggunakan tukang sendiri. Saya hanya meminjam sahaja lesen kontraktor untuk pembinaan rumah tersebut. Setakat ini saya masih dalam proses permohonan untuk pembelian tanah. Setelah selesai pembelian tanah tersebut saya akan memohon pinjaman untuk pembinaan rumah pula.
Diharapkan segalanya berjalan lancer seperti yang dirancang..amiiin
Tuesday, 8 December 2015
Subscribe to:
Posts (Atom)